Pusat Pandu Lalu KITARecycle SWM Environment terima anugerah

...

SEREMBAN, 24 November 2023

SEREMBAN: Fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle SWM Environment yang terletak di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dekat sini telah meraih Anugerah Khas Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Terbaik

Anugerah itu diumumkan pada Malam Apresiasi Sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2023 anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Putrajaya, baru-baru ini.

Pusat kitar semula pandu lalu itu telah didirikan oleh syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dengan kerjasama strategik MBS dan SWCorp.

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, pusat itu yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 23 Disember tahun lalu telah mengumpulkan hampir 60 tan barangan kitar semula.

Beliau berkata, sebanyak 245 tan barangan kitar semula telah berjaya diselamatkan daripada dilupuskan di tapak pelupusan sampah sepanjang tahun lalu. 

“Sehingga September lalu, sebanyak 316 tan barangan kitar semula berjaya dikumpulkan dengan 20 peratus daripada jumlah itu dikumpul melalui Pusat Pandu Lalu KITARecycle,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan itu mempunyai kepentingan yang besar kepada syarikat berkenaan dalam usaha untuk meningkatkan kadar kitar semula terutamanya di negeri ini.

PUSAT Pandu Lalu KITARecycle SWM Environment yang terletak di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Seremban.

Kejayaan itu, jelasnya, merupakan satu pencapaian membanggakan selain memberikan motivasi dan dorongan kepada semua warga kerja SWM Environment untuk bekerja lebih tekun sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini bersih, indah, dan selesa.

“SWM Environment optimis dengan peningkatan kadar kitar semula negara pada tahun ini iaitu sebanyak 35.38 peratus seperti yang diumumkan oleh SWCorp. 

“Peningkatan ini menunjukkan sisi positif penerimaan rakyat terhadap aktiviti kitar semula di negara ini dan sasaran kerajaan pusat bagi mencapai 40 peratus kadar kitar semula negara,” ujarnya.

De Leong berkata, pihaknya yakin program KITARecycle dan kemudahan Pusat Pandu Lalu KITARecycle akan merancakkan aktiviti kitar semula berdigital dalam kalangan rakyat di negeri ini.

https://www.utusan.com.my/berita/2023/11/pusat-pandu-lalu-kitarecycle-swm-environment-terima-anugerah/