Negeri Sembilan kenakan syarat lesen tapak perkhemahan
SEREMBAN, 16 November 2023
SEREMBAN, 16 November- Kerajaan Negeri Sembilan dalam proses memberi lesen kepada pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan menerusi syarat yang ditetapkan bagi memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan pengusaha dalam mengendalikan aktiviti itu.
Menurut Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar pihaknya sedang menunggu kelulusan garis panduan daripada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai rujukan untuk proses berkenaan.
" Sebab itu kita perlu lesenkan para pengusaha tapak perkhemahan supaya mereka mematuhi syarat supaya tidak berulang insiden yang berlaku di Selangor.
"Jadi apa yang kita harapkan adalah untuk memastikan, kalau ada permohonan baharu, mereka dapat menunggu dan mematuhi semua garis panduan yang akan dikeluarkan", kata Arul ketika ditemui media pada Majlis Pecah Tanah Pusat Pandu Lalu KITARecycle dan pertukaran Mou SWM Environment dan OSK Property Berhad di sini.
Terdahulu media melaporkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang disediakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah siap sepenuhnya dan akan diedarkan kepada pihak berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara dalam masa terdekat.