Fasiliti Kitar Semula Cetus Kesedaran Urus Sisa

...

NILAI, 08 November 2023

DE LEONG (dua dari kiri) dan Khairul Anwar (dua dari kanan) sewaktu pelancaran Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Nilai, Negeri Sembilan.

USAHA ke arah kelestarian alam sekitar merupakan satu inisiatif yang perlu digalas dan dilaksanakan oleh semua pihak secara berterusan serta menjadi budaya dalam masyarakat.

Perkara tersebut juga boleh diterapkan menerusi penyediaan fasiliti bersesuaian di peringkat komuniti bagi membantu membudayakan amalan cintakan alam sekitar.

Sebagai langkah memajukan kelestarian alam sekitar dan membantu mencapai matlamat pembangunan lestari, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Coca-Cola Bottlers Malaysia bekerjasama dalam menyediakan fasiliti kitar semula.

Ketua Pegawai Eksekutif, SWM Environment, Ho De Leong berkata, fasiliti dikenali sebagai Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola itu dilaksanakan bagi memupuk kesedaran tinggi dalam masyarakat berkenaan pengurusan sisa domestik.

Ujarnya, ia juga berhasrat membudayakan pengasingan sisa pepejal dan amalan pengurusan sisa melalui kitar semula di dalam kehidupan seharian.

“Dengan peningkatan fasiliti kitar semula, dijangkakan kadar guna semula bahan buangan akan meningkat secara signifikan.

“Ia juga diharap mampu mengurangkan jumlah bahan buangan yang masuk ke tapak pelupusan sampah.

“Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola dimulakan di kawasan perumahan di Nilai, Negeri Sembilan yang menempatkan fasiliti di empat lokasi.

“Antara lokasi yang dipilih adalah di Jentayu @ Enstek, Laman Mawar, Cempaka Seri 1 dan Cempaka Seri 2 yang terletak di kawasan perumahan Kota Seriemas,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, pusat tersebut juga adalah bukti kepada komitmen padu antara dua syarikat terhadap amalan pengurusan sisa lebih mampan, terutamanya dalam aktiviti pengasingan sisa pepejal dan kitar semula.

Kongsinya lagi, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada misi bersama dalam memberikan sumbangan positif kepada alam sekitar dan menyokong ekonomi kitaran (circular economy).

“Kami yakin dengan adanya pusat ini, ia akan menginspirasikan perubahan tingkah laku yang positif dalam kalangan komuniti berkaitan pengasingan sisa pepejal dan membudayakan amalan kitar semula.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Coca-Cola Bottlers Malaysia kerana membantu kerajaan mencapai kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025 dengan menyediakan fasiliti ini,” ujarnya.

Ulasnya lagi, Pusat Pandu Lalu KITARecycle Coca-Cola dijangka menjadi model pengurusan sisa mampan di Malaysia.

Katanya, kolaborasi erat antara pemain industri untuk mendorong ke arah perubahan positif dilihat lebih memberi impak kepada komuniti.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian di Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapura-Brunei, Khairul Anwar Ab. Gahani memberitahu, semua pek pembungkusan seperti tin aluminium dan botol PET boleh dikitar semula.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk terus meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan kitar semula dan keperluan pengasingan sisa buangan.

“Pembungkusan yang telah diguna pakai oleh pengguna mempunyai nilai tersendiri dan boleh digunakan semula,” jelasnya.

Sehingga September 2023, sebanyak 770 tan barangan kitar semula berjaya diselamatkan daripada dihantar ke pusat pelupusan sampah hasil program KITARecycle di Negeri Sembilan.

https://www.kosmo.com.my/2023/11/08/fasiliti-kitar-semula-cetus-kesedaran-urus-sisa/