JOHOR EDAR 77,000 UNIT BARANGAN KEPERLUAN HARIAN - VIDYANANTHAN: EDARAN BANTUAN AKAN DITERUSKAN

...

JOHOR BAHRU, 12 April 2020

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Johor melalui pejabat-pejabat daerah akan mengedarkan 77,755 unit barangan keperluan dapur kepada golongan kurang kemampuan. Proses pengedaran tersebut akan diteruskan dan dilaksanakan secara berperingkat. Katanya, Kerajaan Negeri Johor juga menerima sumbangan barangan keperluan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan diedarkan kepada penerima sasar melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah makmal pengesanan COVID-19 bagi mempercepat proses pengesanan jangkitan wabak berkenaan sekali gus menampung operasi makmal pengesanan di Hospital Sultanah Aminah dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Beliau turut menjunjung kasih kepada Sultan Johor atas sumbangan berbentuk 42 unit mesin bantuan pernafasan yang disalurkan kepada hospital di seluruh negeri Johor bagi memenuhi keperluan pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan. Dalam pada itu, Vidyananthan turut memaklumkan bahawa pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan Operasi Sanitasi Awam yang telah bermula sejak 28 Mac lalu dan sehingga 11 April lalu, sebanyak 585 lokasi telah melalui operasi tersebut. Antara agensi yang turut bekerjasama operasi berkenaan adalah seperti SWCorp, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, SWM Environment, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Tambahnya lagi, laporan Jabatan Kesihatan Negeri Johor setakat 11 April mencatatkan sebanyak 544 kes COVID-19 di negeri Johor dan tiada sebarang peningkatan kes kematian direkodkan.

http://