10 Keluarga Terima Sumbangan Sempena Deepavali

...

SEREMBAN, 07 November 2023

ADUN Nilai, J. Arul Kumar (tiga dari kiri) turut menyertai penyerahan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan menerusi program SWM Kasih Ceria Deepavali di Nilai hari ini.

SEREMBAN: Sebanyak 10 buah keluarga di sekitar kawasan Nilai di sini menerima sumbangan makanan dan keperluan harian bagi menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi. 

Ia melalui program sumbangan tanggungjawab sosial korporat syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) iaitu SWM Kasih Ceria Deepavali.

Pengurus Besar Korporat, SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, Deepavali merupakan perayaan penting bagi masyarakat beragama Hindu jadi pihaknya tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan sempena sambutan perayaan tersebut.

“Memahami kepentingan perayaan ini kepada masyarakat India, SWM Environment mengambil peluang untuk membantu mereka yang memerlukan menerusi program bawah tanggungjawab sosial kami.

“Disamping menziarahi mereka yang memerlukan, kami juga turut mengingatkan penduduk mengenai pentingnya memulakan proses pengasingan sisa pepejal di rumah, termasuk pemisahan bahan seperti kertas, plastik, kaca, dan bahan buangan lain daripada sisa organik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, jelas beliau, pihaknya telah bekerjasama dengan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengenal pasti 10 buah keluarga terbabit.

“Kesemua mereka menerima sumbangan berupa barangan keperluan dapur seperti beras, susu, tepung, tepung muruku dan serbuk masakan kari untuk mereka membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali bersama saudara-mara dan rakan-rakan,” katanya. 

https://www.utusan.com.my/berita/2023/11/10-keluarga-terima-sumbangan-sempena-deepavali/