SWM ENVIRONMENT ANJUR AKTIVITI PEMBERSIHAN PANTAI , PULIHARA ALAM SEKITAR

...

NEGERI SEMBILAN, 01 October 2023

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menganjurkan aktiviti pembersihan pantai sempena Hari Pembersihan Sedunia dan Hari Ozon Sedunia 2023, di sekitar Pantai Saujana, Port Dickson, semalam membabitkan 361 sukarelawan.

Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata program dengan kerjasama Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai menjaga dan memulihara alam sekitar.

Beliau berkata semasa pelaksanaan aktiviti pembersihan, sukarelawan termasuk daripada pelbagai agensi dan institusi pendidikan itu berjaya mengumpul sejumlah 10,651 puntung rokok, sudu garfu plastik (636), beg plastik (592), penutup botol plastik (203) serta botol plastik (178).

“Kami di SWM Environment amat teruja dengan sambutan program pembersihan pantai pada tahun ini dan menerusi kerjasama GETB dan JAS, ia merupakan tanda kejayaan komuniti kita bersatu untuk menjaga alam sekitar.

“Selain membersihkan pantai, kami juga ingin meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga lapisan ozon bumi yang semakin menipis dan tanggungjawab kepada alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari Pembersihan Sedunia dan Hari Ozon Sedunia yang disambut pada 16 Sept merupakan inisiatif global yang menyatukan masyarakat membersihkan alam sekitar sekali gus bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar yang kritikal. 

Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman dalam kenyataan sama berkata kolaborasi bersama SWM Environment itu adalah demi kelestarian alam sekitar selain mengurangkan impak negatif pencemaran sisa plastik terhadap persekitaran.

“Kami juga berpeluang melaksanakan demonstrasi mesin kitar dan hasil semula 2-dalam-1 (upcycling machine) kepada para peserta untuk menunjukkan bahawa plastik terpakai boleh dikitar semula dan menghasilkan barangan baharu yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau turut berharap supaya lebih banyak organisasi korporat dapat bersatu dalam memelihara alam sekitar demi kualiti hidup yang lebih baik kerana  tanggungjawab menjaga alam adalah tanggungjawab bersama.

Dalam perkembangan lain, Mohd Norlisam berkata sehingga Ogos lepas, terdapat 8,757 ahli KITARecycle dan sejumlah 8,000 tan barangan kitar semula berjaya diselamatkan daripada dihantar ke pusat pelupusan sampah hasil daripada program KITARecycle di Negeri Sembilan.

Beliau berkata jumlah tersebut bukan sahaja daripada sumbangan ahli yang menggunakan fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle, tetapi turut melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Orang ramai disaran melaksanakan kitar semula dengan menyertai program KITARecycle yang menawarkan penebusan mata ganjaran kepada wang tunai secara dalam talian dengan memuat turun aplikasi KITARecycle di telefon pintar atau melayari https://portal.kitarecycle.com, katanya.

-- BERNAMA

 

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2230499&fbclid=IwAR05MHxKBhlQl6dSG_JYA6ldED8713Lr_AVR2lUAPegypng-rnfEz_0Srb4