PELAJAR UK PRIHATIN NASIB PENYU KARAH MELAKA

...

MELAKA, 20 July 2023

Seramai 15 pelajar Bishop Hatfield Girls’ School, United Kingdom (UK) menyertai aktiviti pembersihan pantai di sepanjang Pantai Tanjung Serai, di sini, baru-baru ini.

Aktiviti itu diadakan bersempena Program World Challenge Expedition 2023 anjuran pertubuhan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, aktiviti itu merupakan usaha yang dilakukan bagi menggalak dan menjamin kelestarian aktiviti penyu bertelur di sepanjang pesisir pantai berkenaan yang merupakan salah satu lokasi pendaratan spesis penyu karah utama Negeri Melaka.

Di samping itu, katanya, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara keindahan pantai.

“Pihak SWM Environment berbesar hati menerima undangan WWF-Malaysia bagi menjayakan program bermanfaat seumpama ini sebagai tanda sokongan kami kepada usaha menjaga kelestarian alam khususnya dalam melindungi spesies penyu.

“Dalam aktiviti ini juga SWM Environment diberi peluang untuk menyampaikan penerangan mengenai janaan sisa, pengasingan sisa di bawah program kitar semula bermata ganjaran KITARecycle selain menyediakan peralatan aktiviti buat para peserta.

“Program bermanfaat ini diharap dapat membuka mata dan memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara kelestarian alam secara bersama yang secara tidak langsung dapat membantu melindungi spesis haiwan yang kian pupus daripada terus terancam,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti berkenaan akan diteruskan pada siri kedua yang akan diadakan di Pantai Meriam Patah pada 22 Julai 2023 membabitkan kumpulan kedua seramai 13 pelajar dari sekolah yang sama.