KEMERIAHAN RIADAH MALAM SAMBIL LESTARI ALAM SEKITAR

...

Iskandar Puteri, 26 June 2023

JB Neon Recreational Night 2023 Edisi Lestari Fun Run and Ride anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Bandaraya Johor Bahru, pada Jumaat lalu, berlangsung meriah dengan penyertaan warga bandar raya.

Memetik siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi MBJB, JB Neon Recreational Night pada bulan ini menjadi platform meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Untuk makluman, edisi Lestari Fun Run & Ride kali ini berjaya menyelamatkan sekitar 10,000 biji botol plastik daripada mencemarkan alam sekitar menerusi syarat penyertaan iaitu 20 biji botol plastik bagi setiap penyertaan kategori Lestari.

“Setiap timbangan botol plastik diberikan mata ganjaran yang boleh ditebuskan kepada tunai di bawah KITARecycle. Lebih menarik lagi, pingat (medal) para peserta diperbuat melalui daripada penutup botol plastik terpakai yang telah dikumpulkan oleh para peserta sendiri,” jelas MBJB.

JB Neon Recreational Night 2023 Edisi Lestari Fun Run and Ride kali ini juga dianjurkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di bawah Hab Komuniti Rendah Karbon Johor Bahru dikenali sebagai Lestari.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MBJB, Mokhzani Mislan selaku wakil rasmi Datuk Bandar Johor Bahru; Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim serta Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Selain aktiviti larian dan berbasikal, edisi pada kali ini juga menjadi platform penganjuran siri pertama Kaunter Kitar Semula Lestari MBJB yang telah telah berjaya mengumpulkan sekitar 800 kilogram barangan kitar semula daripada warga bandar raya.