DUA PPR DIRANCANG DI JOHOR TAHUN INI, BABAITKAN PEMBANGUNAN 1,000 UNIT RUMAH
Johor Bahru, 24 June 2023
Dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibangunkan di daerah sini dan Kluang tahun ini, yang melibatkan pembinaan 1,000 unit rumah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata perinciannya akan umumkan setelah selesai urusan bersama dengan kerajaan negeri tidak lama lagi.
“Setakat ini kita menerima maklum balas dan perbincangan yang positif,“ kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu kepada pemberita selepas merasmikan Acara JB Neon Recreational Night: Lestari Fun Run & Ride di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini malam tadi.
Sementara itu semasa dirujuk mengenai peruntukan RM23.1 juta yang diumumkan oleh kerajaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur awam, Akmal berkata beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Pada 15 Mei lepas, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM23.1 juta kepada 16 PBT di Johor antaranya bagi membaik pulih, menaik taraf kemudahan dan infrastruktur awam di Johor.