DUA PPR DIBINA DI JOHOR TAHUN INI

...

Johor Bahru, 24 June 2023

Kerajaan Persekutuan merancang untuk melaksanakan pembinaan dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini yang dijangka bermula pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pembinaan dua projek PPR itu melibatkan 1,000 unit di daerah Johor Bahru dan Kluang.

Beliau berkata, perincian mengenai pembinaan PPR tersebut termasuk dari segi kos akan dimaklumkan setelah perbincangan bersama kerajaan negeri dimuktamadkan.

“Insya-Allah untuk Johor pada tahun ini kita akan mulakan dua projek PPR, kedua-duanya akan merangkumi pembinaan sebanyak 1,000 unit rumah di Johor Bahru dan Kluang.

“Namun, perinciannya kita akan umumkan apabila sudah selesai urusan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri, tetapi setakat ini kita telah menerima maklum balas yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Acara Jb Neon Recreational Night: Lestari Fun Run & Ride di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini malam tadi.

Terdahulu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada kerajaan Pulau Pinang untuk pembinaan tambahan 1,000 unit PPR di bahagian pulau dan Seberang Perai.

Kor Ming turut dilaporkan mengumumkan peruntukan RM9.62 juta bagi penyelenggaraan di bawah tabung Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

“Sebelum ini, Pulau Pinang hanya dapat empat projek PPR dengan jumlah hanya 999 unit tetapi kini kita memperuntukkan jumlah RM200 juta untuk bina tambahan 1,000 unit di bahagian pulau dan Seberang Perai, demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan RM23 juta yang diumumkan KPKT sebelum ini bagi menaik taraf infrastruktur awam di Johor,  Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kerja-kerja tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peruntukan yang diumumkan itu, sebagai contoh untuk menyelenggara 28 kolam takungan air di seluruh Johor, kita telah serahkan kepada PBT bagi menguruskan projek tersebut.

“Jadi kita amat mengharapkan agar proses bagi kerja-kerja menaik taraf itu dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Tambahnya, peruntukan itu antaranya melibatkan RM1.3 juta diberikan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur awam di Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Air Biru.