DUA PPR BAKAL DI BINA DI JOHOR

...

Johor Bahru, 24 June 2023

Sebanyak dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 1,000 unit kediaman akan mula dilaksanakan pembinaannya tahun ini

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pembinaan kedua-dua projek PPR itu akan dilaksanakan di Johor Bahru dan Kluang.

“Insya-ALLAH, di Johor tahun ini kita akan mulakan dua projek PPR, satu di Johor Bahru dan satu di Kluang yang kedua-duanya akan merangkumi pembinaan sebanyak 1,000 unit rumah.

“Namun, perinciannya kita akan umumkan apabila sudah selesai urusan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri, maklum balas pun kita dah terima, sangat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan dua projek PPR baharu yang sebelum ini diumumkan bakal dibina di negeri ini selepas menyempurnakan perasmian JB Neon Recreational Night: Lestari Fun Run & Ride di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini pada malam Jumaat.

Mengulas mengenai peruntukan berjumlah RM23 juta yang diumumkan KPKT sebelum ini bagi menaik taraf infrastruktur awam di Johor, beliau berkata, kerja-kerja bagi projek menaik taraf telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peruntukan yang diumumkan itu, sebagai contoh adalah untuk menyelenggara 28 kolam takungan air di seluruh Johor dan kita telah serahkan kepada PBT bagi menguruskan projek tersebut.

“Oleh itu, kita amat mengharapkan agar proses bagi kerja-kerja menaik taraf itu dapat berjalan dengan baik,” katanya.