DUA PPR AKAN DIBINA DI JOHOR TAHUN INI

...

Johor Bahru, 24 June 2023

Dua projek pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Johor dijangka mula dilaksanakan tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pembinaan kedua-dua projek PPR itu merangkumi 1,000 unit kediaman.

"Insya-Allah di Johor tahun ini kita akan mulakan dua projek PPR, satu di Johor Bahru dan satu di Kluang yang kedua-duanya akan merangkumi pembinaan sebanyak 1,000 unit rumah.

"Namun, perinciannya kita akan umumkan apabila sudah selesai urusan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri, maklum balas pun kita dah terima, sangat positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Acara JB Neon Recreational Night : Lestari Fun Run & Ride di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini, malam tadi.

Terdahulu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu diminta mengulas mengenai perkembangan dua projek PPR baharu yang sebelum ini diumumkan bakal dibina di negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan RM23 juta yang diumumkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini bagi menaik taraf infrastruktur awam di Johor, Akmal Nasrullah berkata, semua kerja naik taraf itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Peruntukan yang diumumkan itu, sebagai contoh untuk menyelenggara dan naik taraf 28 kolam takungan air di seluruh Johor, kita sudah serahkan kepada PBT bagi menguruskan projek berkenaan.

"Dari segi komitmen dan garis masa yang kita berikan tempoh hari masih diguna pakai, jadi kita amat mengharapkan supaya proses menaik taraf itu dapat berjalan dengan baik," katanya.