PINGAT DARIPADA BAHAN KITAR SEMULA

...

Johor Bahru, 24 June 2023

 Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah mengambil satu inisiatif bagi menjaga alam sekitar iaitu dengan menghasilkan pingat menggunakan bahan kitar semula.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan yang dibuat ini bagi menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan sisa bahan plastik di tapak pelupusan sampah dan mesra alam.

“Kita galakkan kepada penganjur acara supaya menggunakan pingat yang diperbuat daripada bahan kitar semula demi membudayakan amalan kitar semula dan menjaga alam sekitar setiap masa,” katanya ketika ditemui pada perasmian program JB Neon Recreational Night 2023 – Edisi Lestari Fun Run and Ride di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, semalam.

Edisi Lestari Fun Run and Ride pada kali ini berjaya menyediakan 10,000 biji botol plastik menerusi syarat penyertaan iaitu setiap seorang peserta perlu membawa 20 biji botol plastik dan akan diberikan mata ganjaran yang boleh ditebus dengan wang tunai.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MBJB Mokhzani Mislan, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin.