HASIL SABUN GUNA MINYAK MASAK TERPAKAI
Melaka, 10 June 2023
Melaka: Sekumpulan pelajar Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menampilkan kreativiti apabila menghasilkan sabun menggunakan minyak masak terpakai dalam memperkasakan program kitar semula.
Ia sekali gus mengurangkan kadar pembuangan sisa minyak masak ke dalam longkang dan parit yang menjadi antara punca pencemaran air, tanah dan alam sekitar.
Ketua projek Muhammad Hafizuddin Zainal Fitri berkata, dia bersama empat ahli kumpulan KVNS SOAP mendapati kebanyakan sisa minyak masak dilupus dengan cara tidak betul sekali gus mendorong mereka melakukan pembuatan sabun terbabit .
Menurutnya, menerusi projek 'Turning Waste Into Wealth: Used Cooking Oil Recycling', pembuatan sabun berkenaan menggunakan tiga bahan utama.
"Projek ini antara inisiatif untuk memberi kesedaran dan berkongsi ilmu dengan komuniti mengenai kepentingan kitar semula minyak masak terpakai, tambahan pula pembuatannya amat mudah dan murah.
"Dalam masa sama, kami ingin membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah pembuangan minyak masak terpakai di tempat tidak sepatutnya sekali gus memberi pengetahuan pembuatan sabun (buatan sendiri) kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian pada program 360 Waste Solution anjuran SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bersama UiTM dan Komuniti Taman Bukit Rambai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam, Profesor Ts Dr Aidah Jumahat.
Selain Hafizuddin, ahli kumpulan lain ialah Amirul Aiman Kamaruddin, Muhamad Amirul Akmal Rosli, Muhammad Izwan Ahbar dan Muhammad Shahir Haziq Shahrul Hisham.
Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, program berkenaan dilihat amat bermanfaat dalam membawa mesej atau pendedahan ilmu mengenai kelestarian, kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.