PEKERJA PEMBERSIHAN JUGA ADA SIJIL KEMAHIRAN

...

Seremban, 17 June 2023

Seramai 47 orang pekerja pembersihan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di negeri ini telah ditauliah dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata, pentauliahan sejak tahun 2019 itu melalui Skim Latihan Dual Negara (SLDN) iaitu sijil pentauliahan berdasarkan cara kerja sistematik dan sempurna. 

“Dengan adanya inisiatif sebegini, kita tidak hanya meningkatkan kualiti hidup pekerja pembersihan malah juga meningkatkan keupayaan mereka untuk menyampaikan perkhidmatan dengan berkesan dan cekap.

“Latihan bagi memastikan mereka (pekerja pembersihan) ini mengikuti latihan dan peperiksaan selama enam bulan pada setiap hujung minggu. 

“SLDN mengiktiraf mereka (pekerja pembersihan) agar mereka mempunyai kemahiran untuk menggunakan mesin jentera atau memotong rumput. Kesemua modul latihan tersebut mendapat kelulusan Jabatan Pembangunan Kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Pembersihan di Depoh SWM Environment di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, sehingga kini, seramai 145 orang pekerja syarikat itu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah berjaya mendapat sijil pentauliahan berkenaan.

“Pihak syarikat bersama pihak SWCorp akan sentiasa membantu dan memberi sokongan dalam meningkatkan kualiti kerja pekerja kami tidak kiralah daripada segi kualiti kerja mahupun pembangunan insan,” katanya. 

Pada majlis itu, seramai 77 orang warga kerja SWM Environment menerima sijil penghargaan pekerja contoh daripada pihak SWCorp bagi mengiktiraf kesungguhan, kerja keras, dan komitmen yang diberikan mereka.

Seramai 12 orang pekerja yang berhadapan dengan masalah kesihatan turut disantuni menerusi program ziarah dan penyampaian sumbangan. 

Sementara itu, seorang penerima sijil pekerja contoh tersebut, Rogayah Abdul Rasit, 59, berkata, sepanjang 20 tahun bekerja di syarikat berkenaan, ia kali pertama dia menerima pengiktirafan sebegitu.

“Saya terharu dan gembira kerana menerima sijil pekerja contoh pada hari ini. Hari ini saya rasakan pekerjaan sebagai pekerja pembersihan ini dihargai.

“Saya akan bersara pada tahun hadapan dan selama bekerja sebagai pekerja pembersihan saya mampu membeli sebuah rumah teres. Bagi saya, walau apa pun pekerjaan yang dimiliki, kita mesti bersikap jujur dan bertanggungjawab ketika bertugas. 

“Segala arahan yang diberikan oleh penyelia saya akan ikuti dalam tugasan dan pastikan kerja disiapkan dengan sempurna,” katanya lagi.