MELAKA MAHU PUSAT PEMBUANGAN SISA PEPEJAL KITAR SEMULA DI SETIAP PARLIMEN

...

Ayer Keroh, 30 May 2023

AYER KEROH: Kerajaan negeri mahu sistem pembuangan sisa pepejal untuk dikitar semula lebih tersusun dan bersistematik diperluaskan ke seluruh negeri sebagai usaha mengelak kebergantungan kepada Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Sungai Udang, di sini yang semakin kritikal.

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata ini kerana sistem pembuangan sisa pepejal dibangunkan SWM Environment Sdn Bhd mampu menangani kepadatan bahan buangan di Sungai Udang ketika ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, SWM Environment perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan sistem pembuangan sisa pepejal berkenaan dibangunkan di setiap kawasan Parlimen.

"Pusat Pandu Lalu Kitar Semula atau Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle ini adalah satu kaedah yang baik untuk mewujudkan aktiviti kitar semula sisa pepejal yang lebih terancang, bersistematik serta mampu dimanfaatkan oleh penduduk negeri itu.

"Sistem yang dibangunkan oleh SWM Environment itu dilihat bertepatan dengan manifestasi kerajaan negeri untuk menggalakkan pembabitan masyarakat dalam agenda kelestarian negeri serta memperkasakan gaya hidup hijau serta rendah karbon di Melaka.

"Ia sekali gus, membantu kebergantungan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang kini semakin kritikal akibat pertambahan janaan sisa setiap masa," katanya selepas merasmikan Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle, di Taman Botanikal di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin; Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin serta Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib.

Hab Pusat Pandu Lalu itu adalah satu daripada tiga komponen utama di bawah program KITARecycle SWM Environment, di samping Pusat Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dan Kenderaan Bergerak KITARecycle yang akan dilaksanakan secara berperingkat di negeri itu.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan berkata, kerajaan negeri mahu pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, di sini disegerakan.

Katanya, ini kerana kelewatan pembinaan loji di atas tanah seluas 3.8 hektar itu yang sepatutnya siap tahun ini, menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat di sekitar kawasan terbabit.

Kelewatan membina loji WTE yang menelan kos lebih RM700 juta itu secara tidak langsung menjadikan suasana kehidupan masyarakat akan terus dibelenggu dengan isu pencemaran berikutan lambakan pembuangan sisa pepejal meningkat setiap hari.

Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment yakin amalan kitar semula di negeri ini akan terus meningkat menerusi pelancaran Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle yang pertama di Melaka itu.

Katanya, ia kerana pusat pandu lalu berkenaan akan lebih memudahkan masyarakat khususnya di sekitar Bandar Raya Melaka untuk menghantar barangan kitar semula, seterusnya dapat mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus dengan wang di bawah program KITARecycle.

"Sejak program dilancarkan pada 2018, sebanyak 1.5 juta kilogram (kg) bahan kitar semula dikumpulkan manakala di negeri Melaka pula hampir 140 ribu kg bahan kitar semula berjaya diselamatkan dari dibawa ke tapak pelupusan.

"Saya yakin jumlah kutipan kitar semula di Melaka akan terus meningkat sekiranya semua pihak berganding bahu bersama-sama menjayakan program KITARecycle ini," katanya.