AIDILFITRI: SWM MELAKA TUMPU 89 LOKASI HOTSPOT, ELAK LONGGOKAN SAMPAH TIDAK TERKAWAL

...

Ayer Keroh, 15 April 2023

AYER KEROH, 15 April- Sebanyak 89 lokasi panas penempatan tong sampah berpusat di Melaka diberi tumpuan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dalam usaha mengelakkan longgokan sampah yang tidak terkawal pada sambutan Aidilfitri ini.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan berkepadatan tinggi dan kawasan tumpuan pelancong iaitu di Melaka Tengah (53 lokasi), Alor Gajah (15 lokasi) dan Jasin (21 lokasi).

"Selain kutipan tong sampah berpusat, SWM Environment turut memberi tumpuan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukal, operasi berjadual pasar awam serta pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam.

"Operasi khas ini akan bermula 17 sehingga 24 April melibatkan 651 tenaga kerja dan 113 jentera pelbagai kegunaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka bersama media dan taklimat berkaitan Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri di Ayer Keroh, malam tadi. 

Hadir sama Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab Mutalib dan Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Enviroment Melaka, Norariffin Nordin.

Mengulas lanjut, Norlisam berkata seramai 651 tenaga kerja akan terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan 113 unit jentera milik SWM Environment.

Katanya kerjasama dan sokongan semua pihak amat diharapkan agar operasi yang dirancang ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur selain pihaknya menyarankan agar orang ramai mengamalkan kaedah pelupusan sisa pepejal dengan betul.

"Selain itu kita berharap masyarakat dapat memanfaatkan perkhidmatan kutipan tambahan seminggu sekali bagi pelupusan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula bagi mengelakkan longgokan sampah terutama di kawasan perumahan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata sempena sambutan Aidilfitri, orang ramai juga digalakkan untuk menyertai kempen KITARecycle untuk peluang memenangi hampir 28,000 Recycle Point (RP) yang ditawarkan menerusi Jom KITARecycle, Jom Raya! dari 1 April sehingga 31 Mei.

"Mereka boleh mendaftar sebagai ahli melalui aplikasi KITARecycle di Google Play dan Apps Store dan info lanjut mengenai program KITAReycle boleh didapati di https://kitarecycle.com," katanya.