89 LOKASI HOTSPOT TONG SAMPAH BERPUSAT SEMPENA AIDILFITRI

...

Melaka, 15 April 2023

MELAKA: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) memfokuskan operasi di 89 lokasi ‘hotspot’ tong sampah berpusat di negeri ini bagi menangani longgokan sampah tidak terkawal terutama sisa makanan sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Ia membabitkan kawasan perumahan berkepadatan penduduk Islam yang tinggi, pusat bandar dan jalan-jalan utama serta kawasan pelancongan dengan pecahan 53 lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah (15) dan Jasin (21).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, operasi khas kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam akan dijalankan bermula 17 hingga 24 April ini.

“Selain kutipan tong sampah berpusat, tumpuan juga diberikan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukal, operasi berjadual pasar awam serta pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam.

“Kita jangka sisa pepejal terutama bahan makanan akan meningkat sepanjang musim perayaan ini terutama dengan penganjuran rumah terbuka oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.

“Jadi pemantauan dan kutipan akan ditumpukan di setiap tong berpusat yang dikenal pasti mengikut cawangan operasi,” katanya pada sidang media taklimat operasi khas itu, malam tadi.

Beliau berkata, operasi khas itu bertujuan mengawal limpahan sampah dan mengelak pembuangan sisa secara haram terutama sisa makanan yang cepat rosak dan berulat jika tidak dibersihkan segera.

Mohd Norlisam berkata, operasi khas itu membabitkan 651 anggota dan 113 jentera dan pihaknya mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan ia berjalan lancar.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak meletakan sebarang halangan termasuk memakir kenderaan di sepanjang laluan operasi kutipan sisa pepejal dan di tepi tong sampah beroda.

“Mereka juga disarankan mengamalkan kaedah pelupusan sisa pepejal dengan betul dan memanfaatkan perkhidmatan kutipan seminggu sekali bagi pelupusan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula,” katanya.

Sempena Aidilfitri SWM Environment turut menggalakkan orang ramai menyertai kempen KITARecycle dan berpeluang memenangi hampir 28,000 Recycle Point (RP) yang ditawarkan menerusi Jom KITARecycle, Jom Raya! bermula 1 April lalu sehingga 31 Mei depan

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi KITARecycle di Google Play dan Apps Store dan info lanjut program didapati di https://kitarecycle.com.