SISA MAKANAN KETIKA RAMADAN MENINGKAT SETIAP TAHUN, KATA TIMBALAN MENTERI

...

Iskandar Puteri, 10 April 2023

Sisa pepejal khususnya melibatkan sisa makanan yang dikutip Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ketika Ramadan dilihat semakin meningkat setiap tahun. 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ia dibuktikan menerusi jumlah kutipan sisa pepejal ketika Ramadan tahun lepas yang mencatatkan sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019.

"Peningkatan berlaku setiap tahun dan dalam tempoh lima tahun ini kita dapat lihat ia meningkat sehingga 21%, daripada pandangan kementerian langkah pertama adalah untuk kurangkan penghasilan sisa makanan. 

"Berdasarkan kepada penelitian data tadi, sebanyak 44.5% daripada sisa pepejal yang dikutip itu adalah sisa makanan dan jumlah itu agak besar nilainya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Operasi SWM Environment Negeri Johor Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023, di Iskandar Puteri malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin. 

Justeru Akmal Nasrullah berkata orang awam khususnya diharap dapat bekerjasama bagi mengelakkan lambakan sisa makanan berlaku antaranya dengan memanfaatkan operasi kutipan.

Sementara itu, Mohd Norlisam berkata seramai 4,475 kakitangan SWM Environment akan bertugas dengan 588 jentera antaranya lori kompaktor, lori open tipper dan lori Roll-On Roll-Off (RORO) akan digunakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan operasi sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

"Operasi tersebut akan tertumpu kepada perkhidmatan kutipan sisa pepejal terutamanya di 150 kawasan seperti kawasan perumahan berkepadatan umat Islam yang ramai, pusat bandar dan jalan-jalan utama.

"Kutipan sisa domestik pula memfokuskan kepada usaha mengawal limpahan sisa semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. 

"Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan agar tidak meletakkan sebarang halangan di sepanjang laluan lori kompaktor termasuk kawasan yang berhampiran lokasi penempatan tong sampah bagi memastikan kelancaran operasi kutipan sisa domestik," katanya.