SISA PEPEJAL MENINGKAT 10 PERATUS PADA AIDILFITRI

...

Johor Bahru, 10 April 2023

JOHOR BAHRU, 10 April-SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menjangkakan peningkatan sisa pepejal sekitar 10 peratus menjelang Aidilfitri.

Peningkatan tersebut adalah berdasarkan peningkatan jumlah sisa pepejal setiap tahun pada bulan Ramadan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah sisa pepejal meningkat dalam tempoh lima tahun sehingga 21 peratus.

"Kalau kita buat perbandingan pada bulan Ramadan tahun 2022 sebanyak 252,521 tan sisa makanan meningkat berbanding tahun 2019 iaitu 208,143 tan dan sebanyak 44.5 peratus daripada sisa pepejal itu ialah sisa makanan", katanya ditemui semasa sidang media Majlis Pelancaran OPS Hari Raya SWM Environment dan berbuka puasa bersama pengamal media di Nusajaya, Johor.

Bagi pelancaran operasi kali ini, seramai 4,475 petugas SWM Environment akan bertugas seperti biasa bagi memenuhi keperluan aktiviti pembersihan di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).