RAKYAT MEMBAZIR SEMASA RAMADAN, BANYAK MAKANAN DIBUANG

...

Iskandar Puteri, 10 April 2023

ISKANDAR PUTERI: Kadar pembaziran makanan yang dilakukan rakyat semasa bulan Ramadan amat membimbangkan apabila kutipan sisa pepejal meningkat menjadi 252,521 tan, pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, jumlah itu merekodkan pertambahan sebanyak 21 peratus berbanding 208,143 tan pada Ramadan 2019.

“Berdasarkan penelitian data tersebut, sebanyak 44.5 peratus daripada sisa pepejal itu adalah sisa makanan. 

“Justeru, pihak kementerian berharap rakyat Malaysia dapat mengubah sikap negatif itu khususnya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya selepas melancarkan Ops Hari Raya SWM Environment Negeri Johor di Horizon Hills Golf & Country Club, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.

Jumaat lalu, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengendalikan 53 tan sisa makanan sehari membabitkan 87 bazar Ramadan di Kuala Lumpur dan lima di Putrajaya.

Kajian yang dibuat mendapati hanya 16 peratus peniaga bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya dapat menghabiskan jualan mereka.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dalam menjayakan kempen mengelakkan pembaziran pada bulan Ramadan ini serta sepanjang Syawal nanti.

“Langkah pertama yang ditekankan ialah kurangkan penghasilan sisa pepejal itu, iaitu sisa makanan. Jika pengurusan sisa makanan ini dilakukan lebih baik, ia dapat memudahkan ataupun mengurangkan beban di pihak operasi.

“Justeru, kepada mereka yang akan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya, kita harap tidak dibuat secara berlebihan bagi memastikan sisa makanan yang dihasilkan adalah minimum,” katanya.