JOHOR KEKAL LARANGAN JUAL VAPE

...

Johor Bahru, 04 April 2023

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengekalkan larangan penjualan vape di negeri itu sebagaimana yang telah diputuskan sejak 1 Jan 2016, menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata pendirian yang dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sejak tujuh tahun lepas itu kekal meskipun kerajaan pusat telah mewartakan duti eksais bagi cecair atau gel mengandungi nikotin vape mulai Sabtu lepas.

Katanya kerajaan negeri telah mengenakan syarat bagi permohonan lesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan tidak membenarkan penjualan vape di premis perniagaan sejak larangan itu dibuat.

“Kita faham di peringkat pusat sudah ada kebenaran (cukai bagi cecair vape), jadi kita tunggu arahan seterusnya daripada kerajaan Persekutuan.

“Setakat ini, kita tidak mendapat hitam putih dari segi arahan tentang pengharaman vape, tetapi di peringkat kerajaan Johor kita masih menggunakan dasar keputusan (larangan) yang lama pada 2016,” katanya kepada pemberita ketika menyertai Program Singgah Sahur 2023 Kelab Media Johor (KMJ) awal pagi tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh dan Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak.

Mohd Jafni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cukai bagi kandungan nikotin pada kadar 0.40 sen setiap milimeter yang dikenakan kerajaan pada 1 April lepas dan pendirian kerajaan negeri mengenai larangan penjualan vape.

Sementara itu, mengenai operasi bazar Ramadan pula, Mohd Jafni berkata pihaknya meluluskan sebanyak 13,175 tapak bazar Ramadan melibatkan 235 lokasi di bawah pentabdiran PBT Johor tahun ini.

Setakat ini hanya operasi bazar Ramadan di bawah Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) kurang mendapat sambutan terutama di lokasi baharu, manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula melibatkan isu warga asing berniaga secara haram.

“Kita tidak mengeluarkan lesen untuk peniaga warga asing, kecuali dia bekerja dengan orang tempatan dan lesen di bawah nama majikan mereka. Hanya di MBJB sahaja alami isu ini dan tindakan penutupan oleh penguat kuasa telah diambil,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Fauzi berkata KMJ mengedarkan 400 pek makanan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), petugas Hospital Sultanah Aminah, pekerja pembersihan SWM Environment serta ahli kelab KMJ bagi penganjuran program tersebut yang memasuki edisi kesembilan.

Beliau berkata empat lokasi dikunjungi KMJ semasa program tersebut iaitu Sifar Kilometer, HSA, Markas Polis Marin Tampoi serta ibu pejabat JBPM Johor, di sini. - Bernama