KELAB MEDIA JOHOR ANJUR SINGGAH SAHUR KALI KE-9

...

Johor Bahru, 04 April 2023

JOHOR BAHRU – Kelab Media Johor (KMJ) meneruskan tradisinya saban tahun menganjurkan program Singgah Sahur Kelab Media Johor dengan mengagihkan juadah bersahur kepada petugas-petugas barisan hadapan.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program tahunan bermula sejak tahun 2015 itu bertujuan memberi penghargaan bukan sahaja kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas, tetapi turut menyantuni pekerja-pekerja pembersihan daripada SWM Environment.

“Penganjuran program yang sudah masuk tahun kesembilan ini bagi menunjukkan tanda sokongan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini, awal pagi tadi.

Flag-off program yang dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah Noh membabitkan konvoi 20 buah kenderaan menuju ke empat destinasi iaitu Pusat Bandar Johor Bahru, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Markas Polis Marin Tampoi serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Johor.

Sebanyak 400 pek makanan disediakan untuk semua petugas, termasuk ahli-ahli KMJ yang menyertai Program Singgah Sahur kali ini.- KOSMO! ONLINE