ADUN KOTA LAKSAMANA HARGAI HERO TIDAK DIDENDANG

...

BANDARAYA MELAKA, 14 January 2020 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong menyantuni, malah menghargai peranan dan tanggungjawab diberikan pekerja pembersihan di negeri ini. Menurutnya, sumbangan pekerja pembersihan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di negeri ini seharusnya dihargai ,malah masyarakat perlu menaruh rasa hormat ke atas pekerja berkenaan. Katanya, tanggungjawab dalam menjaga kebersihan terutama di kawasan pelancongan itu merupakan jasa yang tidak ternilai malah golongan itu terpaksa bekerja seawal jam 5 pagi bagi memastikan kebersihan terjamin. “Mereka perlu membersihkan kawasan utama daripada kekotoran sampah seawal pagi malah perlu menyiapkannya sebelum jam 8 pagi sebelum kawasan utama didatangi pelancong. “Saya amat menghargai jasa dan pengorbanan mereka kerana menjaga kebersihan di kawasan Kota Laksamana terutama di kawasan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadir Majlis Makan Tengah Hari bersama Pekerja Pembersihan Jalan Jonker, di sini tempoh hari. Turut hadir, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Tan Chin Gwan dan Penyelia Pembersihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Mohd Khir Abd Mokhtar. Dalam pada itu, beliau menyarankan agar orang ramai perlu menjaga kebersihan di negeri ini ke arah melahirkan sebagai sebuah negeri hijau. “Orang ramai termasuk pelancong perlu menerapkan amalan menjaga kebersihan dan sampah dipelihara malah ia seiring dengan hasrat kerajaan negeri bagi menjadikan Melaka sebagai negeri yang bersih selaras dengan perlaksanaan #IniRumahKita,” katanya.