POLIS KLUANG BANTU BERSIH RUMAH MANGSA BANJIR DI JOHOR

...

Kluang, 09 March 2023

Kira-kira 300 anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Kluang tampil membantu penduduk Kampung Palembang Baru yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebanyak 10 buah rumah penduduk telah terpilih untuk kerja khidmat masyarakat.

Katanya, rumah terpilih itu adalah kediaman terjejas teruk dan ditenggelami air sehingga paras bumbung selain dihuni keluarga kurang upaya serta ibu tunggal.

“Tujuan kita adalah untuk membantu penduduk terlibat selepas melihat kerosakan setiap rumah melalui tinjauan sebelum ini yang mendapati bantuan perlu diberikan sebagai meringankan beban setiap keluarga.

“Malah untuk membuang kerosakan harta benda penduduk terlibat, pihak SWM Environment Sdn Bhd turut terpaksa menggunakan dua lori tiga tan menganggkutnya keluar,” katanya ketika ditemui pada majlis Gotong-Royong Pasca Banjir di sini hari ini.

Ujarnya lagi, semoga dengan bantuan yang diberikan ini dapat memulihkan semangat mangsa banjir  apatah lagi ramai antara mangsa terpaksa menanggung kos kerosakan rumah serta harta benda.

“Selain membantu membersihkan rumah, kami juga menghulurkan sedikit barang-barang keperluan harian kepada setiap keluarga terlibat bagi meringankan kos perbelanjaan mereka,” katanya.