JANGKITAN COVID-19, DAERAH BATU PAHAT DALAM ZON MERAH, OPERASI SANITASI AWAM SECARA BESAR BESARAN DI SRI GADING.

...

BATU PAHAT, 06 April 2020 Selepas Daerah Batu Pahat disenaraikan dalam Zon Merah akibat penularan jangkitan Covid-19, beberapa pihak telah mengambil tindakan dengan mengadakan Operasi Sanitasi Awam secara besar besaran di kawasan Bandar Baru Pura Kencana, Bandar Universiti dan Parit Raja sebagai langkah pencegahan. Walaupun operasi ini telah ditunda sebanyak 2 kali disebabkan faktor cuaca namun hari ini ianya dapat dijalankan dengan lancar. Agensi yang terlibat adalah SWCorp, SWM Environment, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) , Jabatan Kesihatan Daerah Batu Pahat, JBPM, PDRM dan Rela. Seramai 60 anggota dari pelbagai agensi telah berkumpul di Bandar Universiti untuk mendengar taklimat sebelum operasi dimulakan. Kerja semburan sanitasi Covid-19 ini diteruskan sehingga tamat pada pukul 5 petang. Selain menggunakan jentera Waterjet bagi semburan di jalan dan bangunan, alat Knapsach Sprayer turut digunakan bagi semburan di hadapan rumah kedai. Pejabat Daerah Batu Pahat juga telah mengeluarkan pengumuman melalui Facebook (FB) meminta agar semua premis ditutup. Orang awam juga tidak dibenarkan keluar dan tidak menyidai pakaian diluar rumah ketika Operasi Sanitasi Awam dijalankan. Lokasi yang terlibat dengan program tersebut adalah di Jalan Utama Sri Gading dan Parit Raja, Klinik Kesihatan, Pejabat Pos, Balai Polis, Kedai Makanan Segera, Pasaraya, Stesen Minyak, Pasar Awam, Balai Raya dan kawasan Perumahan. SEBANYAK 47 KES POSITIF DI DAERAH BATU PAHAT. Mengikut laporan dari Pejabat Kesihatan Daerah, setakat ini Batu Pahat mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 sebanyak 47 kes positif. Kawasan Sri Gading merupakan kawasan yang paling kritikal dan dimasukkan dalam Zon Jingga (terdapat 21 hingga 40 kes). Selain itu, 5 kawasan berada dalam Zon Kuning (1 hingga 20 kes) iaitu di Simpang Kanan, Kampung Baru, Peserai, Simpang Kiri dan Sungai Kluang. Daripada 47 kes Covid-19 di kawasan Batu Pahat, 16 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala masih ada 36 pesakit lagi ditahan di wad dan 1 kes kematian direkodkan. Bagi daerah Batu Pahat, seramai 644 orang masih dalam siasatan kajian darah (PUI) , 563 orang dalam keadaan pemantauan (PUS) atau dikuarintin dalam rumah. Sin Chew Daily. 7-4-2020.

http://