BANJIR: 160, 000KG SISA, SAMPAH SARAP DIKUMPULKAN DI JOHOR

...

Johor Bahru, 07 March 2023

Sebanyak 160,000 kilogram sisa dan sampah sarap terkumpul akibat banjir telah dikumpulkan di negeri ini setakat ini, susulan banjir terburuk yang dialaminya, sejak minggu lalu.

Ia berikutan kerja pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) melalui Operasi Bantuan Banjir yang telah mula melaksanakan Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata walaupun bencana banjir masih melanda beberapa daerah setakat ini, kerja pembersihan di enam daerah yang kawasannya mulai pulih dan surut, sudah dimulakan.

Katanya, kerja pembersihan kawasan terjejas banjir dilakukan secara berperingkat membabitkan Kluang, Segamat, Johor Bahru, Kulai, Mersing dan Kota Tinggi.

"Kerja pembersihan menerusi Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir itu dilaksanakan oleh hampir 100 anggota barisan hadapan pengurusan sisa pepejal dengan sokongan sekitar 30 kenderaan berjentera.

"Ia membabitkan lori Open Tipper, lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak melalui jalinan kerjasama dengan Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment telah memulakan Operasi Bantuan Banjir melalui perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di hampir 220 pusat pemindahan sementara (PPS) negeri ini.

Katanya, ia termasuk PPS yang terletak di luar kawasan perkhidmatan syarikat konsesi sejak bencana banjir melanda negeri Johor.

"Inisiatif itu dilaksanakan oleh seramai 60 anggota kerja dengan sokongan sekitar 20 lori kompaktor yang menyaksikan penempatan dan penambahan sekitar 330 tong sampah beroda.

"SWM Environment turut menyarankan supaya setiap pemilik premis melaporkan kehilangan tong sampah beroda (TSB) kepada polis sekiranya tong yang dibekalkan kepada mereka hanyut atau rosak akibat bencana banjir.

"Setiap pemilik premis perlu mengemukakan permohonan penggantian TSB bersama salinan laporan polis berkenaan secara dalam talian di laman sesawang www.swmenvironment.com," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung prosedur penggantian TSB itu boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau WhatsApp kepada 012-618 0082.