SWM ENVIRONMENT MULA OPERASI SANITASI AWAM COVID-19 DI MELAKA

...

MELAKA, 06 April 2020

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) hari ini memulakan Operasi Sanitasi Awam di Melaka dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dalam menjayakan usaha memerangi penularan COVID-19. Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin dalam satu kenyataan berkata operasi berkenaan tertumpu dalam kawasan Hang Tuah Jaya menggunakan empat jentera termasuk jentera tangki air dan pacuan empat roda. Kawasan sanitasi awam itu meliputi medan selera dan pasar awam di enam lokasi iaitu Gerai Makan Taman Melaka Baru; Gerai MBMB Jalan Bukit Beruang; Pasar Bukit Beruang; Pasar Wilayah Muzaffar Shah, Pasar Bemban dan Medan Selera Ayer Keroh, katanya. Beliau berkata kekerapan operasi sanitasi awam yang melibatkan pihaknya berpandukan kepada ketetapan Jawatankuasa Penyelaras COVID-19 negeri. Mohd Norlisam berkata lokasi tertumpu di pasar awam, medan selera, tandas awam, taman permainan, taman rekreasi awam dan dewan orang ramai. Sebelum ini, operasi itu telah dilancarkan di negeri Johor dan Negeri Sembilan pada 30 Mac. Beliau berkata pihaknya siap siaga di ketiga-tiga negeri perkhidmatannya menjayakan operasi sanitasi itu dengan melibatkan bilangan pekerja terlatih minimum, disokong 20 jentera penyembur dan empat jentera lori tangki air. 

- BERNAMA

http://