LORI KUTIPAN SISA PEPEJAL BEROPERASI SEPERTI BIASA

...

Johor Bahru, 04 March 2023

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negeri Johor beroperasi seperti biasa kecuali di jalan-jalan yang berisiko tinggi akibat peningkatan paras air banjir. 

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, pihak SWM Environment akan mengatur langkah operasi perkhidmatan pengurusan sisa kawasan terjejas tersebut sebaik paras air banjir mulai surut dan selamat dilalui oleh kenderaan operasi.

Tambah beliau, pihak SWM Environment turut menyediakan tambahan kemudahan dan perkhidmatan pegurusan sisa pepejal mengikut keperluan di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdasarkan arahan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). 

Dengan mengambil maklum masalah kehilangan dan kerosakan tong sampah beroda semasa banjir, beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan terjejas banjir untuk menyimpan tong sampah beroda (TSB) di dalam rumah bagi mengelakkan dihanyutkan arus banjir. 

SWM Environment juga akan menawarkan penggantian TSB secara percuma dengan mengemukakan permohonan bersama laporan kehilangan TSB bagi melancarkan proses penggantian baharu. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman www.swm-environment.com atau hadir ke kaunter di pejabat SWM Environment berhampiran anda.