KITARECYCLE KUMPUL EMPAT TAN BARANG KITAR SEMULA

...

Seremban, 15 February 2023

Lebih empat tan barang kitar semula berjaya dikumpul oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menerusi Pusat Pandu Lalu KITARecycle Seremban yang beroperasi sejak dua bulan lalu.

 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin. berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang memberangsangkan sekali gus meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat dan menyumbang kepada kelestarian alam.

 

“Daripada lebih empat tan barangan kitar semula yang dikumpul, kertas adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 2.7 tan apabila fasiliti ini beroperasi sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

 

“Konsep pengumpulan sisa kitar semula ini dan penembusan mata ganjaran boleh menjadi nilai tambah kepada rangsangan ekonomi kitaran,” katanya ketika ditemui di Pusat KITARecycle di sini.

 

Menurut Mohd. Norlisam, inisiatif itu juga dapat mengatasi peningkatan sisa yang boleh dikitar semula berbanding sistem tradisional yang tidak mempunyai alternatif sehingga plastik dan kertas terutamanya berakhir di tapak pelupusan.

 

“Sudah pasti dengan adanya kitar semula, ia dapat menyumbang kepada ekonomi kitaran dan jugak mengurangkan beban tapak pelupusan yang mana barang-barang kitar semula tidak perlu dihantar ke tapak pelupusan.

 

“Setakat ini, alhamdulillah di kawasan ini belum ada sampah yang tidak boleh dikitar semula diletakkan memandangkan dari segi fasiliti juga lebih kepada pendidikan.

 

“Jadi secara tidak langsung, masyarakat terpanggil untuk tidak sewenangnya meletakkan sisa sampah yang boleh dikitar semula di mana-mana sahaja,” katanya.

 

Pusat Pandu Lalu KITARecycle beroperasi setiap hari bagi memudahkan urusan kitar semula orang ramai secara pandu lalu.