SUDUT LESTARI DILANCARKAN – KEMPEN ALAM SEKITAR, RENDAH KARBON

...

Johor, 14 February 2023

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah melancarkan Sudut Lestari di Perpustakaan Sultan Ismail, Larkin yang berdasarkan model Kyoto bagi mendidik dan menerapkan amalan rendah karbon dalam kalangan masyarakat.

Sudut Lestari menjadi model rujukan di Asia Tenggara tersebut dibangunkan oleh MBJB melalui jalinan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mendapat sokongan dan latihan daripada pihak Bandaraya Kyoto dan Kyoto Environment Activities Association (KEAA).

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman memaklumkan bahawa Jepun, terutama Bandar Kyoto adalah rujukan terbaik dalam membangunkan masyarakat rendah karbon dan melestarikan alam sekitar. Tambah beliau, MBJB juga akan menjalinkan kerjasama dengan United Nations Development Program (UNDP) pada masa hadapan bagi merancakkan usaha kelestarian alam sekitar.

Melalui Sudut Lestari tersebut, orang ramai akan diberikan pendidikan dan pemahaman tentang usaha melestarikan alam sekitar melalui pengurusan sisa, tenaga dan air secara mampan.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sebanyak 1.17 kilogram sisa dijana setiap hari oleh setiap isi rumah dengan 40 peratus daripadanya adalah sisa makanan manakala 20 peratus lagi boleh dikitar semula.

Jelas beliau, Zon Sisa Mampan dan Sudut Lestari merupakan ruang pendidikan yang diwujudkan secara kekal di perpustakaan tersebut. Malah, pihak SWM Environment juga merancang pelbagai aktiviti dan pertandingan bagi meningkatkan penglibatan dan pemahaman masyarakat terutama pelajar dan ibu bapa dalam usaha melestarikan alam sekitar tersebut.