MURID 30 SEKOLAH KUTIP 24,000 KG BOTOL KACA
Johor Bahru, 13 February 2023
SWM Environment akan memperluaskan Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca dengan melibatkan penyertaan lebih banyak sekolah rendah pada masa depan.
Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, perancangan itu ekoran kejayaan dicatat menerusi pertandingan yang julung kali diadakan bermula September tahun lepas hingga Januari lalu.
Menurutnya, menerusi pertandingan itu, sebanyak 24,000 kilogram (kg) botol kaca berjaya dikutip, melepasi sasaran awal sebanyak 10,000 kg.
“Pertandingan ini dijalankan selama empat bulan sejak September tahun lalu dengan 30 buah sekolah kebangsaan dipilih untuk menjayakannya. Oleh kerana sambutan diterima amat menggalakkan dan kutipan yang dibuat murid-murid sekolah terlibat menunjukkan tahap kesedaran tinggi, kita merancang untuk memperluaskan lagi pertandingan ini.
“Ini petunjuk baik terhadap aspek kitar semula kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam program ini boleh dianggap sebagai ‘role model’ kepada masyarakat untuk terlibat sama menjayakan inisiatif ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Jom Kita Semula Botol Kaca di Auditorium Jotic, di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Miswan Yunus.
Mohd. Norlisam berkata, impak kutipan sebanyak 24,000 kg botol kaca itu menyaksikan penurunan 68,640 kg karbon dioksida, sekali gus selari dengan pendirian kerajaan negeri menerusi inisiatif Johor Bersih.
“Untuk program kitar semula, kita tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya akan terus dilakukan dalam tempoh yang panjang dan bukannya secara bermusim.
“Apa yang kita utamakan untuk meningkatkan kesedaran penduduk supaya membolehkan mereka memulakan inisiatif kitar semula di peringkat kehidupan seharian, seterusnya mengekalkan gaya hidup tersebut. Jika ditanya setakat ini bagaimana maklum balas masyarakat terhadap kempen kitar semula, kita berpuas hati,” jelasnya.
Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Pontian membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 berserta hadiah iringan lain apabila diisytiharkan sebagai johan pertandingan itu.
Guru Besarnya, Ong Chiew Ai berkata, walaupun pertandingan itu telah berakhir namun pihaknya akan meneruskan kempen kitar semula di peringkat sekolah dengan menggalakkan penyertaan bukan sahaja daripada murid, malah ahli keluarga mereka.
“Kempen seperti ini bukan sahaja memberi kesan positif terhadap penjagaan alam sekitar, malah merupakan satu acara berbentuk komuniti yang boleh dijayakan bersama-sama penduduk setempat,” katanya.