PERTANDINGAN JOM KITAR SEMULA BOTOL KACA CAPAI MATLAMAT

...

Johor Bahru, 13 February 2023

Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca yang dijalankan di 30 buah sekolah rendah di Johor berjaya mencapai matlamatnya.

Sebanyak 24,000 kilogram botol kaca berjaya dikitar semula sepanjang tempoh empat bulan pertandingan, yang berakhir bulan lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata pihaknya berpuas hati dengan pencapaian luar biasa itu yang melepasi sasaran awal sebanyak 10,000 kilogram.

Usaha itu sekali gus membawa kepada penurunan lebih 68,000 kilogram karbon dioksida.

Justeru, perbincangan akan dibuat dengan rakan strategik terutama sekolah bagi memperluas aktiviti kitar semula.

"Ini adalah satu petunjuk yang sangat baik bahawa masyarakat ataupun amalan kitar semula botol kaca boleh dilaksanakan sekiranya ia diberi penekanan atau perhatian.

"Jadi kita berharap mesej dan pencapaian ini dapat membuka mata dan menggerakkan masyarakat di luar untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca, di sini hari ini.

Pertandingan itu dimenangi SJK C Chung Hwa, Pontian yang membawa pulang RM500.00 dan hadiah iringan lain.