24,000 KILOGRAM BOTOL KACA BERJAYA DIKITAR SEMULA

...

Johor Bahru, 13 February 2023

Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca yang diadakan di 30 buah sekolah rendah di Johor berjaya mencapai matlamatnya selepas 24,000 kilogram (kg) bahan buangan berjaya dikitar semula sepanjang tempoh empat bulan pertandingan itu yang berakhir bulan lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian luar biasa yang melepasi sasaran awal, 10,000 kg, sekali gus membawa kepada penurunan 68,640 kg karbon dioksida.

Justeru, perbincangan akan dibuat dengan rakan strategik terutama sekolah bagi memperluaskan aktiviti kitar semula.


“Ini adalah petunjuk yang sangat baik bahawa masyarakat minda ataupun amalan kitar semuala botol kaca boleh dilaksanakan sekiranya diberi penekanan dan perhatian.

“Jadi kita berharap mesej dan pencapaian ini dapat buka mata dan menggalakkan masyarakat juga melaksanakan pengasingan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca di sini hari ini.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Pontian memenangi kategori Kutipan Kitar Semula Botol Kaca dengan kutipan terkumpul 4,646 kg dan membawa pulang RM500, plak dan sijil.

Sementara SJKC Ping Ming Kluang mendapat naib johan dengan 3101 kg dan membawa pulang RM400 beserta sijil penghargaan dan plak manakala Sekolah Kebangsaan Mendapat Batu Pahat ditempat ketiga dengan kutipan 2968.5 kg dan menerima RM300, sijil penghargaan dan plak.