MURID DI 30 SEKOLAH RENDAH JOHOR KUTIP 24 TAN BOTOL KACA

...

Johor Bahru, 13 February 2023

Murid daripada 30 sekolah kebangsaan (SK) di seluruh Johor berjaya mengumpul 24 tan botol kaca dalam tempoh empat bulan menerusi Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca di sini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, kutipan botol kaca itu melepasi sasaran awal sebanyak 10 tan.

Beliau berkata, pertandingan yang julung kali diadakan bermula September tahun lalu dan berakhir Januari lalu menerima sambutan di luar jangkaan.

Beliau berkata, pertandingan berkenaan dijalankan selama empat bulan sejak September tahun lalu dengan 30 SK dipilih untuk menjayakannya.

"Oleh kerana sambutan diterima amat menggalakkan dan kutipan yang dibuat murid-murid sekolah terbabit menunjukkan tahap kesedaran tinggi kepada program kitar semula, kita merancang untuk memperluas lagi program ini.

"Ini petunjuk baik terhadap aspek kitar semula, kerana murid-murid yang membabitkan diri dalam program ini boleh dianggap sebagai 'role model' kepada masyarakat umum untuk terbabit sama menjayakan inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Jom Kita Semula Botol Kaca di Auditorium Jotic, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, impak kutipan sebanyak 24 tan botol kaca itu menyaksikan penurunan 68,640 kg karbon dioksida (CO2) sekali gus selari dengan pendirian kerajaan negeri menerusi inisiatif Johor Bersih.

"Bagi program kitar semula, kita tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya ia akan terus dilakukan dalam tempoh masa panjang dan bukannya secara bermusim.

"Apa yang kita utamakan adalah untuk meningkatkan kesedaran penduduk agar membolehkan mereka memulakan inisiatif kitar semula di peringkat kehidupan seharian seterusnya mengekalkan gaya hidup terbabit.

"Kita akan memperluas pelaksanaan Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca dengan membabitkan penyertaan lebih banyak sekolah rendah pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dari Pontian membawa pulang wang tunai sejumlah RM500 beserta hadiah iringan lain.

Guru Besarnya, Ong Chiew Ai berkata, walaupun pertandingan itu sudah berakhir namun pihak seperti akan meneruskan kempen kitar semula di peringkat sekolah dengan meminta penyertaan bukan sahaja daripada murid dan juga ahli keluarganya.