HAB KITARECYCLE PERTAMA MELAKA SIAP PERTENGAHAN TAHUN INI

...

Melaka, 17 January 2023

Hab KITARecycle pertama Melaka dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini sebagai usaha proaktif dalam melestarikan pengurusan sisa melalui amalan kitar semula.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, kemudahan Hab KITARecycle merangkumi tiga komponen utama iaitu Pusat Pandu Lalu KITARecycle, Pusat Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) serta Kenderaan Bergerak KITARecycle.

“Kesemua kemudahan ini dilihat mampu menjadi salah satu aspek perangsang kepada ekonomi kitaran dan meningkatkan penglibatan penduduk dengan aktiviti kitar semula melalui pelaksanaan hab berkenaan.

“Selain itu, ia juga dapat melanjutkan jangka hayat serta mengurangkan kos operasi di tapak pelupusan khususnya di Melaka dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Tapak Hab Pandu Lalu KITARecycle di Taman Botanikal di sini, hari ini.

Tambahnya, kemudahan yang tersusun, mudah diakses dan mesra pengguna itu juga diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Melaka untuk mengamalkan Budaya 3R (guna semula, kurangkan, kitar semula) secara berterusan.

Ujar Mohd. Norlisam, SWM Environment menjalin kerjasama strategik bersama MPHTJ yang menyediakan kemudahan Pusat Pandu Lalu KITARecycle dan CEPA di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Katanya, Pusat Pandu Lalu KITARecycle akan dibina di Taman Botanikal Ayer Keroh di sini, sementara CEPA dibangunkan di ruang legar di Melaka Mall untuk dijadikan hab ilmu atau pusat sehenti bagi informasi pengasingan sisa di punca (SAS) dan kitar semula.

“Menggunakan konsep pandu lalu, fasiliti yang bakal dibina ini akan memudahkan penduduk Melaka untuk menghantar barangan kitar semula di samping berpeluang mengumpul mata ganjaran KITARecycle.

“Sementara itu, Kenderaan Bergerak KITARecycle di bawah kendalian pasukan 3R Troopers akan menjelajah ke seluruh negeri bagi mendekati masyarakat melalui aktiviti kutipan barangan kitar semula, siri taklimat, pameran dan kaunter pendaftaran KITARecycle,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE