HAB KITARECYCLE PERTAMA MELAKA DIJANGKA SIAP JUN INI

...

Melaka, 17 January 2023

Syarikat penyedia perkhidmatan pengurusan sisa bersepadu dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd (SWM Environment) akan membangunkan Hab KITARecycle pertama di Melaka yang dijangka siap Jun ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, kemudahan itu akan merangkumi tiga komponen utama iaitu Pusat Pandu Lalu KITARecycle; Pusat Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dan Kenderaan Bergerak KITARecycle.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu yang dijangka siap pertengahan tahun ini mampu meningkatkan penglibatan penduduk dalam aktiviti kitar semula sekali gus memberi nilai tambah dalam melestarikan pengurusan sisa melalui amalan kitar semula.

“Kemudahan ini dilihat mampu menjadi salah satu aspek perangsang kepada ekonomi kitaran dan melanjutkan jangka hayat tapak pelupusan sekali gus dapat mengurangkan kos operasi di tapak pelupusan khususnya di Melaka dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan tapak Hab KITARecycle oleh pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kepada SWM Environment di Tapak Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan danYang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata, bagi Pusat Pandu Lalu KITARecycle, pembinaannya akan dilaksanakan di Taman Botanikal Ayer Keroh berikutan kedudukannya yang strategik sebagai salah satu kawasan pelancongan dan riadah tumpuan ramai.

“Menggunakan konsep pandu lalu, fasiliti yang bakal dibina ini akan memudahkan penduduk Melaka untuk menghantar barangan kitar semula mereka di samping berpeluang mengumpul mata ganjaran.

“Manakala, bagi komponen yang kedua iaitu CEPA, kita akan gunakan ruang legar di Melaka Mall yang akan dijadikan sebagai satu hab ilmu atau pusat sehenti,” katanya. – MalaysiaGazette.