PUSAT PANDU LALU KITAR SEMULA DIJANGKA SIAP MAC INI

...

Melaka, 18 January 2023

Sebuah Hab KITARecycle pertama di Melaka akan didirikan di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini dalam usaha meningkatkan penglibatan penduduk negeri itu dalam aktiviti kitar semula.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata kemudahan hab berkenaan dilengkapi dengan tiga komponen utama iaitu pusat pandu lalu KITARecycle, kenderaan bergerak KITARecycle serta pusat komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.

Beliau berkata hab berkenaan dijangka mula beroperasi pada Mac depan selaras dengan usaha kerajaan Melaka ke arah bandar dan negeri lestari menjelang 2035.

"Usaha ini bertujuan mengubah perilaku manusia dan kaedah pembuangan serta pengurusan sampah menerusi saluran yang betul dan usaha ini dimulakan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dengan kerjasama SWM Environment dan SWCorp.

"Hab berkenaan didirikan di kawasan rekreasi memandangkan ia menjadi tumpuan orang ramai dan memudahkan akses untuk mereka menghantar barangan kitar semula," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tapak Hab KITARecycle di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan tapak berkenaan oleh Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin kepada Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman.

Zaidi berkata hab berkenaan juga didirikan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat tentang kepentingan dan cara pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) dan orang ramai terlibat akan diberi mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang tunai menerusi aplikasi KITARecycle.

"Hab KITARecycle berkenaan akan menjadi pusat kajian keberkesanan aktiviti kitar semula dan pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) di Melaka dalam tempoh setahun ini dan jika keputusannya positif, mungkin hab ini akan diperluaskan ke kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan lain.

"Kejayaan usaha ini dapat dilihat pada kualiti air mentah di negeri ini dari aspek tahap pencemaran yang akan kita kaji dari semasa ke semasa sepanjang pelaksanaan aktiviti kitar semula di hab tersebut kerana pencemaran air turut disumbangkan oleh pelbagai sisa buangan seperti industri, perumahan, penternakan dan pertanian," katanya.