SWM ENVIRONMENT BEROPERASI SEPERTI BIASA PADA TAHUN BARU CINA
Melaka, 19 January 2023
Jadual kutipan sampah oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di seluruh Melaka, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari, berjalan seperti biasa.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pengekalan itu bagi memastikan tiada masalah longgokan sampah berlaku.
“Tiada perubahan semasa musim perayaan, kita mengikut jadual seperti mana biasa selain pekerja-pekerja kita tiada yang bercuti dan mereka akan bekerja.
“Ini bagi memastikan pada sambutan Tahun Baharu Cina tiada gangguan dari segi kutipan sisa pepejal. Kita sedia maklum janaan sisa akan sedikit meningkat memandangkan akan ada jamuan serta kunjungan sanak-saudara.
“Kalau tiada perkhidmatan sudah pasti akan menjejaskan kebersihan dan juga keselesaan orang ramai meraikan perayaan itu,” katanya pada program SWM Kasih Misi Sampul Merah di Persatuan Kanner Melaka.
Namun begitu, beliau turut meminta kerjasama penduduk dan orang ramai agar tidak menghalang laluan sehingga menyukarkan jentera dan pekerja pembersihan membuat kutipan.
“Misalnya apabila sudah ramai yang berkunjung ke rumah saudara mara, diharap kenderaan tidak menghalang tong sampah agar keberkesanan kutipan dapat dilakukan.
“Selain itu, kita juga galakkan agar mereka boleh lakukan kitar semula dengan mengasingkan sisa buangan,” katanya.