SWM ENVIRONMENT SEDIA LAKSANAKAN PROGRAM KOMPOS SISA MAKANAN

...

Melaka, 20 January 2023

SWM Environment bersedia untuk melaksanakan program baja kompos daripada sisa makanan dengan menjadikan Persatuan Kanner Melaka sebagai rakan Kerjasama pertama.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, projek rintis seumpamanya telah dilaksanakan di sekolah di Negeri Sembilan.

Sekolah tersebut menggunakan sisa makanan untuk dikompos dan digunakan untuk membaja pokok dan sayur-sayuran yang ditanam di kawasan sekolah. Hasil tanaman tersebut turut dijual untuk menambah pendapatan.

Mohd Norlisam berkata demikian dalam sidang media selepas program SWM Kasih Misi Sampul Merah di mana SWM Environment menyerahkan bantuan berbentuk barangan makanan kepada Persatuan Kanner Melaka.

Katanya, beliau kagum dengan inisiatif Persatuan Kanner Melaka yang menjana pendapatan melalui jualan sayur organik. Sehubungan itu, beliau yakin persatuan ini boleh mengimplementaiskan projek kompos sisa makanan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan.

“Kami menjangkakan projek ini akan dimulakan pertengahan Februari. Janaan sisa makan di pusat kebajikan ini mungkin tidak banyak tetapi mereka boleh mengumpulnya daripada kawasan kejiranan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mendaftar KITARecycle agar mata ganjaran terkumpul yang diperoleh melalui penghantaran barangan kitar semula boleh disumbangkan kepada Persatuan Kanner Melaka.

Dalam perkembangan lain, Mohd Norlisam berkata, operasi SWM Environment akan berjalan seperti biasa pada sambutan Tahun Baharu Cina.