Anjakan Jadual Kutipan Di Dua Lokasi

...

SEREMBAN, 27 April 2022

SWM Environment Sdn Bhd Negeri Sembilan akan melaksanakan anjakan jadual kutipan sisa pepejal di Nilai dan Seremban dalam Pelan Strategi Operasi Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Kawasan di Seremban membabitkan Senawang 1, Mambau, Rasah, Seremban 3, Rasah Jaya, Templer, Labu, Rasah manakala Nilai pula ialah Nilai Impian,Semarak,Pajam,Mantin, Kota Seriemas, Bandar Enstek, Pekan Nilai, Gadong, Labu, Seremban Jaya, Bandar Seremban Selatan, Bandar Baru Senawang. Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, Pelan Strategi Operasi sempena Hari Raya Aidilfitri di Negeri Sembilan melibatkan 1,134 anggota kerja, 165 kenderaan serta jentera 1 hingga 5 Mei depan. "Kesemua sisa pepejal di kawasan itu akan dikutip pada 1 Mei," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar strategi operasi Hari Raya Aidilfitri, Seremban malam Rabu. Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin. Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, pelan strategi itu bagi memastikan operasi perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di 287 lokasi tumpuan di sekitar Negeri Sembilan berjalan lancar terutama pada tiga hari kemuncak sambutan perayaan Aidilfitri. "Strategi operasi ini juga memfokuskan kepada pemantauan kebersihan di sembilan lokasi Bazar Aidilfitri yang akan dilaksanakan pada malam hari raya bagi mengelakkan isu lambakan sampah yang tidak diurus dengan baik oleh pihak penganjur," katanya. Katanya, SWM Environment turut meletakkan 67 pekerja yang mula bertugas seawal jam 6 pagi di pantai tumpuan ramai seperti di Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Telok Kemang, Pantai Purnama, Pantai Tanjung Biru, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Gemok.