SWM ENVIRONMENT - ANJAKAN JADUAL DI 15 KAWASAN PBT

...

JOHOR BHARU, 25 April 2022

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) telah melancarkan Pelan Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula dari 1 Mei hingga 7 Mei dengan menyaksikan jadual perkhidmatan kutipan sisa pepejal dianjakkan membabitkan 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kembali beroperasi seperti biasa pada 8 Mei nanti. Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, jadual perkhidmatan kutipan sisa pepejal akan beroperasi seperti biasa pada 1 dan 2 Mei manakala operasi kutipan pula bakal dianjakkan lewat sehari bermula dari 3 Mei hingga 7 Mei. Beliau yang berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa SWM Environment semalam turut memaklumkan bahawa seramai 4,349 orang anggota dan 461 buah kenderaan berjentera akan terlibat dalam pelan strategi tersebut dengan jangkaan peningkatan sisa pepejal pada tiga hari kemuncak sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jelas beliau, sebanyak 25 peratus anggota daripada jumlah keseluruhan anggota SWM Environment di negeri Johor akan memberi tumpuan khusus di 120 kawasan seperti perumahan berkepadatan penduduk beragama Islam yang tinggi, pusat bandar, kawasan pelancongan dan bazar perayaan. Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk terus melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dan amalan 3R dengan mengurangkan pembaziran sisa makanan dan menggunakan bekas makanan berbanding bungkusan plastik sekali guna yang mampu mengurangkan pelepasan karbon sekali gus penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.“Kami menjangkakan peningkatan pergerakan masyarakat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti. Justeru itu, pihak SWM Environment memohon kerjasama daripada penduduk untuk tidak meletakkan sebarang halangan di sepanjang laluan kutipan sisa pepejal dan berhampiran lokasi penempatan tong sampah bagi memastikan kelancaran operasi kutipan dilaksanakan.Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082 akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh perlaksanaan pelan strategi tersebut. Turut serta dalam sidang media tersebut adalah Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik dan Pengarah SWCorp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin. Dalam pada itu, Cairul Hisham pula memaklumkan bahawa pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura pada awal April lalu susulan perlaksanaan Fasa Peralihan Ke Endemik dijangka akan menyumbang kepada peningkatan janaan sisa pepejal sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti. Beliau memaklumkan, sehingga 16 April lalu, purata kutipan sisa pepejal di negeri Johor berjumlah 2,505 metrik tan dengan peningkatan sebanyak 0.85 peratus berbanding 2,484 metrik tan pada bulan Ramadan tahun lalu. “Kami juga mendapati janaan sisa pepejal meningkat sepanjang dua minggu ini menjelang Hari Raya Aidilfitri dengan peningkatan sekitar 2 peratus hingga 4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Berdasarkan maklumat tahun 2020 dan 2021, peningkatan janaan sisa pepejal didorong oleh faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran kebanyakan penduduk berada di rumah dan melakukan aktiviti pembersihan malah turut menyaksikan peningkatan kadar kitar semula sehingga 25 peratus pada tahun 2021. Tambah beliau, sebanyak 1,442,327 kilogram barangan kitar semula telah berjaya dikumpulkan melalui Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca sepanjang tahun 2021 di negeri Johor.