Mualaf Kongsi Cabaran Berpuasa

...

MELAKA, 16 April 2022 Walaupun bukan pertama kali berpuasa pada bulan Ramadan, ia tetap menjadi cabaran buat mualaf yang hanya ingin dikenali sebagai Echa untuk memastikan beliau dapat menunaikan rukun Islam ketiga itu dengan sebaiknya selain turut melaksanakan ibadah lain seperti solat fardu dan tarawih. Suri rumah berusia 24 tahun itu berkata cabaran berkenaan lebih dirasai apabila beliau perlu berpuasa dalam keadaan sarat mengandung dan menghidap gastrik tetapi ia bukan penghalang buatnya yang teruja menunaikan ibadah berkenaan bersama suaminya yang merupakan seorang Muslim. "Saya memang hidup dan tinggal dalam komuniti Melayu dan Islam...sebelum ini juga saya selalu berpuasa pada bulan Ramadan bersama kawan-kawan Islam tetapi banyak perbezaan atau kelainan ketika berpuasa sebagai Muslim dan sebelum memeluk Islam.   Beliau berkata dia bernasib baik kerana penghijrahannya itu mendapat bimbingan daripada suami yang dinikahinya selepas memeluk Islam selain sering melibatkan diri dengan program dakwah atau berkaitan Islam dalam usaha meningkatkan ilmu dan pemahamannya tentang agama itu dengan lebih jelas. Sementara itu, saudara baharu yang ingin dikenali sebagai Muhammad, 29, berkata beliau tertarik untuk memeluk Islam selepas sering didedahkan dengan pelbagai kisah berkaitan nabi oleh seorang kenalannya di tempat kerja sejak dua tahun lepas. Pekerja di sebuah kilang di sini berkata daripada kisah yang didengarinya itu, beliau kemudian membuat pembacaan yang lebih terperinci daripada pelbagai sumber untuk mencari bukti sahih mendalami keindahan Islam. "Bukan mudah untuk saya sebagai seorang penganut Kristian sebelum ini membuat keputusan memeluk Islam. "Banyak juga halangan yang saya terpaksa lalui terutama apabila penghijrahan saya ini tidak mendapat restu keluarga dan tidak disenangi rakan-rakan. "Tetapi alhamdulillah berkat doa yang tidak pernah putus, akhirnya keluarga kini dapat menerima keputusan saya dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari untuk saya benar-benar menjadi seorang Muslim yang baik," katanya yang memeluk Islam pada Disember tahun lepas. Mengulas tentang ibadah puasa sebagai seorang mualaf baharu, beliau bersyukur dapat menjalani ibadah berkenaan yang kini telah memasuki hari ke-13 dan berharap dapat berpuasa penuh tanpa sebarang ujian. Terdahulu, kedua-dua mualaf berkenaan ditemui pada Majlis SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Kasih Santun Ramadan bagi meraikan golongan mualaf di Melaka yang disempurnakan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka Nur Caren Chung Yock Lan di sini pada Jumaat. Mohd Norlisam berkata sebanyak 10 mualaf baharu menerima sumbangan berupa beras, barangan keperluan, sejadah dan al-Quran dan ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meraikan golongan berkenaan.  "Ramadan kali ini merupakan yang pertama dilalui golongan mualaf berkenaan dalam hidup mereka dan sumbangan ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi keceriaan kepada mereka," katanya.