SWM ENVIRONMENT - MENANGI MATA GANJARAN KITARECYCLE SEMPENA RAMADAN

...

JOHOR BHARU, 07 April 2022 Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin memaklumkan bahawa SWM Environment telah memulakan Pelan Operasi Bulan Ramadan dengan menyeru orang ramai untuk memanfaatkan Perkhidmatan Kutipan +1 bagi menguruskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula di samping menjayakan Kempen Kitar Semula dan Menangi Mata Ganjaran menggunakan KITARecycle sepanjang bulan Ramadan ini. Dalam kenyataan pada hari ini, beliau memaklumkan bahawa janaan sisa pepejal dijangka meningkat pada bulan Ramadan ini dan seterusnya sempena perayaan Aidilfitri nanti susulan pelaksanaan Fasa Peralihan Ke Endemik COVID-19 baru-baru ini. Orang ramai diingatkan untuk melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dan menempatkan ketiga-tiga jenis sisa yang telah diasingkan di tepi tong sampah beroda (TSB) di kediaman masing-masing. BERSAMA LAKSANAKAN AMALAN 3R Beliau turut mengajak orang ramai untuk menjayakan Kempen Ramadan Rendah Karbon dengan memfokuskan kepada amalan 3R iaitu pengurangan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle). Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyertai Kempen Kitar Semula dan Menangi Mata Ganjaran menggunakan KITARecycle. FOKUS KEBERSIHAN BAZAR RAMADAN Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa SWM Environment melaksanakan operasi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan membabitkan 88 lokasi bazar Ramadan di negeri Johor sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini. Tambah beliau, seramai 205 anggota SWM Environment dengan sokongan 41 buah jentera kenderaan akan menyediakan perkhidmatan kebersihan di bazar Ramadan tersebut setiap hari. SWM Environment turut menyediakan sebanyak 198 unit tong sampah beroda di Bazar Ramadan bagi memudahkan peniaga dan pengunjung bazar menguruskan sisa buangan mereka.