MBMB Anjur Program Pembersihan Besar-Besaran, Kekalkan Kebersihan Sempena Kedatangan Pelancong: Qi Yao

...

MELAKA, 24 March 2022 Sempadan negara akan dibuka pada 1 April ini dan Melaka sebagai negeri pelancongan terkenal perlu mengekalkan tahap kebersihan sebagai persediaan menyambut kedatangan pelancong asing dan tempatan, kata Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Kon Qi Yao. Oleh itu, pihak majlis telah menjalankan operasi pembersihan besar-besaran di kawasan pelancongan di sekitar bandar Melaka bagi meningkatkan tahap kebersihan dan juga kesedaran orang ramai, katanya kepada pemberita ketika ditemui di operasi pembersihan di Jalan Bunga Raya Pantai. Qi Yao berkata, beliau ada menerima aduan daripada peniaga bahawa terdapat orang awam yang membuang sampah di kawasan parkir berdekatan dan menyebabkan sampah masuk ke dalam longkang dan tersumbat. Selepas menerima aduan, saya telah menghubungi SWM Environment untuk membuat kerja-kerja pembersihan dan kami juga berjumpa peniaga setempat bagi mengetahui masalah mereka mengenai isu kebersihan, katanya. Katanya, memandangkan terdapat jumlah sampah yang tinggi dalam kawasan perindustrian maka premis terlibat perlu melantik kontraktor swasta untuk menguruskan sisa tersebut. “Dalam operasi kali ini, agensi terlibat telah melakukan kerja-kerja pembersihan di lorong-lorong belakang dan mendapati banyak bahan binaan ditinggalkan. Setelah dibersihkan kita harap dapat mengurangkan pembiakan nyamuk dan meningkatkan kebersihan persekitaran, katanya.