KANAK-KANAK KUMPUL 30 KILOGRAM SAMPAH

...

SIMPANG RENGGAM, 04 March 2022 Kejayaan seorang kanak-kanak yang telah mengumpulkan dua bungkusan sisa seberat hampir 30 kilogram wajar menjadi tauladan masyarakat dalam memelihara alam sekitar. Adib Abha Mohd Yazid bersama keluarganya telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 setelah berjaya mengumpulkan sisa buangan daripada Aktiviti Pembersihan Sambil Riadah yang telah dianjurkan sempena Program Keluarga Malaysia Bersih, Indah Sejahtera Peringkat Negeri Johor 2022. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr. Ismail Abd Mutalib yang hadir merasmikan program berkenaan telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang berkata, “Kehidupan sihat mempunyai kaitan dengan kebersihan persekitaran dan kesihatan masyarakat”. Tambahnya lagi, “Kerajaan memandang serius soal kesihatan masyarakat dan ia memerlukan penjagaan kendiri. Orang ramai juga digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti kelestarian alam sekitar yang bukan setakat memelihara alam sekitar malah turut menjaga kesihatan”. Sementara itu, Ismail turut menyentuh tentang penglibatan keluarga dalam aktiviti kelestarian seumpamanya. Tujuannya adalah untuk menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Beliau berkata, program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tersebut telah mendapat pelbagai kerjasama antaranya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dan SWM Environment Sdn Bhd. Program tersebut juga menyaksikan penglibatan daripada komuniti penduduk bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar yang memberi manfaat kepada mereka.