1,289 Petugas Buat Kerja Pembersihan Pada Tahun Baru Cina
SEREMBAN, 28 January 2022 Kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Sembilan tetap berjalan seperti biasa dan mengikut jadual walaupun ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina minggu hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, seramai 1,289 anggota petugas syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan bersedia pada hari pertama perayaan. Ujarnya, seramai 1,363 petugas pula akan bersiap sedia pada hari kedua bagi memastikan kutipan sisa domestik tersebut dapat berjalan dengan baik. Kutipan sisa domestik turut dilaksanakan seperti biasa di 42 lokasi tong sampah berpusat, 29 buah lokasi rumah pangsapuri dan sembilan buah lokasi tumpuan pelancong, ia agar sisa dapat diuruskan dengan baik. Sempena Tahun Baharu Cina, operasi akan diteruskan seperti biasa, saya faham ramai pengguna yang mengemas rumah untuk sambutan perayaan ini dan mereka boleh meletakkan sisa tersebut di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan mengikut jadual yang ditetapkan di kawasan kediaman masing-masing, katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Strategi Operasi Tahun Baharu Cina di Pantai Saujana di sini hari ini. Menurut beliau, pihak SWM Environment juga akan menggerakkan sejumlah 111 kenderaan lori kompaktor bagi melaksanakan kutipan sisa domestik dan 58 kenderaan lori terbuka bagi melaksanakan kerja kutipan sisa taman, kitar semula dan pukal pada Tahun Baharu Cina kali ini. -K! ONLINE