Penduduk Negeri Sembilan Sokong Program Kitar Semula

...

SEREMBAN, 18 January 2022 Usaha mewujudkan kelestarian alam sekitar menerusi aktiviti kitar semula perlu terus dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat selaras hasrat kerajaan menyemai budaya bersih dalam kehidupan. Pengurus Besar Korporat, SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata pihaknya berpuas hati dengan sokongan masyarakat Negeri Sembilan yang menyokong usaha itu. Katanya, sepanjang tahun lalu, program kitar semula mencapai peningkatan lebih 100 peratus apabila jumlah pengumpulan barangan kitar semula mencecah 66,765 kilogram (kg) berbanding 33,281kg pada tahun 2020. "Sambutan penduduk Negeri Sembilan terhadap program KITARecycle terus meningkat kepada 100 peratus, manakala keahlian KITARecycle juga meningkat 37 peratus, tahun lalu. "Peningkatan ini menunjukkan bahawa program kitar semula berganjaran berdasarkan pengumpulan mata ganjaran kitar semula (RP) dan sistem penebusan mata RP semakin mendapat tempat penduduk negeri ini. "Ini suatu perkembangan yang positif selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyemai budaya kitar semula dalam mewujudkan kelestarian alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata, selain berusaha mengadakan promosi, pihaknya juga giat melaksanakan aktiviti kitar semula dengan pembabitan rakan strategik antaranya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan juga syarikat swasta FGV Plantations. Mohd Norlisam berkata, pihaknya optimis untuk mencapai sasaran kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025, boleh dicapai menerusi komitmen masyarakat.