SWM Environment Kumpul Lebih 66 Tan Matriks Barang Kitar Semula Di N. Sembilan

...

SEREMBAN, 17 January 2022 Lebih 66.6 tan matriks barangan kitar semula dikumpulkan di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tahun lepas menerusi program KITARecycle syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment). Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata jumlah barangan kitar semula terkumpul itu menunjukkan peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding pencapaian pada 2020 iaitu kira-kira 33.2 tan matriks. Beliau berkata jumlah pendaftaran keahlian KITARecycle turut meningkat 37 peratus pada tahun lepas dengan jumlah mata ganjaran kitar semula (RP) terkumpul sebanyak 251,662 setakat ini. "Perkembangan ini menunjukkan program kitar semula berganjaran berdasarkan pengumpulan mata ganjaran dan sistem penebusan mata RP secara dalam talian semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk di Negeri Sembilan. "Usaha SWM Environment dalam mendidik dan mempromosi secara bersasar, selain hebahan di media massa dan media sosial banyak membantu orang ramai mendapatkan maklumat tepat serta bimbingan secara terus bagi melaksanakan aktiviti kitar semula dengan lebih tersusun dan bersistematik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Selain itu, menurutnya penggunaan aplikasi melalui telefon pintar juga amat membantu dan memudahkan orang ramai melaksanakan kitar semula tanpa perlu bersemuka sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Mohd Norlisam berkata pihaknya menyeru penduduk di negeri ini mendaftar bagi menjadi ahli KITARecycle secara percuma melalui laman web www.KITARecycle.com atau memuat turun aplikasi KITARecycle di Apple Apps Store dan Google Play Store. -- BERNAMA