SWM Environment Komited Pastikan Pekerja Lengkap Dos Vaksin

...

KUALA LUMPUR, 19 August 2021 SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menjangkakan sehingga 85 peratus kakitangannya di tiga negeri di bawah perkhidmatannya iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor akan melengkapkan suntikan vaksin menjelang akhir bulan September 2021. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho De Leong berkata, setakat ini seramai antara 40 peratus hingga 60 peratus kakitangan SWM Environment khususnya pekerja barisan hadapan (frontliner) di ketiga-tiga negeri tersebut telah menerima sekurang-kurangnya suntikan vaksin dos pertama di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak April lalu. Menurut beliau, pemberian vaksin kepada petugas di sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam amat penting kerana mereka tergolong sebagai barisan hadapan yang terus berkhidmat tanpa henti mengikut jadual seperti biasa sejak mula penularan wabak Covid-19. “Keselamatan pekerja khususnya ketika bertugas di lapangan sentiasa menjadi keutamaan SWM Environment dan kami telah mengambil pelbagai inisiatif pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. “Suntikan vaksin dilihat sebagai satu kemestian dan langkah terbaik untuk memberi perlindungan kepada pekerja kami dan memastikan penduduk setempat sentiasa selamat dari jangkitan, seterusnya membantu negara mencapai pembentukan imuniti berkelompok,” katanya. Sehubungan itu, katanya, SWM Environment akan terus bekerjasama erat dengan Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan keseluruhan pekerjanya mendaftar dan melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19. Langkah ini sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok menjelang bulan Disember 2021 seperti yang telah dirancang di bawah PICK. SWM Environment pada masa yang sama telah melengkapkan sesi penerangan kepada semua pekerjanya agar mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai program vaksinasi serta manfaat melengkapkan dos suntikan bagi memastikan kesihatan pekerja sentiasa dalam keadaan baik.